Monday 23 May 2011

....Belasungkawa Seniwati Mahyon Ismail: Berlakon ke akhir hayat...

DUNIA hiburan khususnya gelanggang lakonan melihat gugurnya sebutir lagi bintang yang bergemerlapan di angkasa seni apabila Seniwati Mahyon Ismail, 69, menyahut panggilan Ilahi kelmarin jam 12.30 tengah hari di Hospital Ampang Puteri, Selangor.
Ini bermakna keluarga Allahyarham benar-benar merasai satu lagi kehilangan selepas suami arwah, pelakon dan pengarah Allahyarham Hussein Abu Hassan lebih dulu meninggal dunia pada 27 November 2007. 
Kini hanya anak-anak pasangan veteran itu mewarisi perjuangan seni mereka terutama Faizal, Dilla dan Fairuz. Keluarga seni itu boleh dianggap cukup unik seperti keluarga seni terkenal, Ahmad Daud dan Saadiah serta Aziz Jaafar dan Normadiah yang sudah kembali ke rahmatullah.

Ramai juga tahu Mahyon juga ibu saudara kepada pelakon Rosyam Nor.

Barangkali dalam bidang lakonan, lakonan berkesan Allahyarham Mahyon yang paling diingati peminat adalah menerusi filem Bunga Padi Berdaun Lalang (bersama suaminya Hussein) serta sebagai ibu yang mencari anak terpisah dalam filem Tiada Esok Bagimu arahan Tan Sri Jins Shamsuddin (bersama aktres Noorkumalasari).

Sejak itu, Mahyon terus berlakon dalam ratusan drama TV yang kebanyakannya menyaksikan beliau sebagai ibu dan nenek. Jelas, aksi ‘kerut dahi’ Mahyon sudah begitu sinonim dengan dirinya itu.

Minggu lalu, dunia seni negara dikejutkan dengan pemergian penyanyi Datin Orchid Abdullah dan penulis veteran, Aimi Jarr. Kini kematian mengejut Mahyon atau nama sebenarnya, Mayayun Ismail pula mengundang rasa sedih keluarga, rakan dan peminat.

Mahyon yang dilahirkan di Tanjong Karang, Selangor mula berlakon sejak era 1960-an lagi. Malah, jiwa anak seninya begitu kental kerana dia tetap berlakon sehingga ke akhir hayat.

Kata anaknya, pelakon terkenal Faizal Hussein, minggu lalu, ibunya sempat berlakon dalam drama terakhirnya, Serapah Darah Bulan Madu terbitan Skop Productions. Ketika berlakon, ibunya sudah mengadu demam, tetapi tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak hadir penggambaran.

Mahyon yang turut menghidap penyakit kencing manis sudah lama dinasihati anak-anaknya itu agar berehat daripada dunia seni, tetapi kecintaannya pada bidang lakonan masih kuat.

Mahyon adalah anak kedua daripada tujuh beradik. Beliau pernah berlakon dalam 15 filem dan membintangi lebih 200 drama. Beliau seangkatan Sofia Ibrahim dan Noor Azizah, digilap bakatnya di Studio Merdeka, Hulu Klang.

Bakatnya dalam bidang lakonan mula terserlah dalam filem Tun Teja arahan Datuk C Krishnan pada 1961 sebelum diambil Tan Sri P Ramlee memegang watak Nora dalam filem Nasib Do Re Mi pada 1966.

Mahyon berkahwin dengan Hussein Abu Hassan pada 1961 selepas pertemuan mereka ketika bekerjasama dalam filem Tun Teja. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak berbakat iaitu Fadilla, 48, Fairuz, 46, dan Faizal, 44.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ibu Kota, Danau Kota berdekatan pusara suaminya. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Amin.

No comments:

Post a Comment